Halaman

Khamis, 25 Januari 2018

Meniti Suratan

Terciptanya wanita dimuka bumi ini bukan untuk disakiti fizikal atau hatinya. Ia diutuskan untuk saling melengkapi, saling menyempurnakan dan saling membahagiakan sesuatu keluarga atau rumahtangga, ia bukan didatangkan untuk disakiti. Wanita juga sebenarnya adalah sesuatu yang didatangkan untuk menzahirkan keindahan dunia dan kehidupan, tapi sayang sekali mungkin ada diantara kita tidak menyedari untuk apa seorang wanita itu didatangkan kedalam hidup kita. Seperti yang kita biasa dengar wanita tercipta dari rusuk lelaki, bukan dari kepala untuk kita junjung tidak juga dari kaki untuk kita alasi tapi ianya tercipta dari rusuk untuk dilindung,dekat jua dihati untuk dikasihi.

Pada yang menyedari akan hakikat hati wanita itu, ianya terlalu lembut tak ubah seperti sutera mungkin  juga juga terlalu luluh dan rapuh hinggakan air mata sering menjadi teman sejati mereka tak kala mereka dihimpit kesedihan dan kehibaan diatas tindak tanduk lelaki yang menjadi pasangannya.Dalam keadaan begitu mereka terlalu mengharap tindakan seorang lelaki yang bergelar suami ( bagi yang sudah berumahtangga ) datang membelai, memperbetulkan keadaan untuk mereka memulihkan kembali kerapuhan semangat yang kian hilang dibawa arus perasaan namun begitu seandainya ia terus dibiarkan terkapar begitu tidak mustahil selembut hati wanita itu akan menjadi terlalu keras tak ubahseperti besi , terlalu berani dan mungkin akan bertindak diluar kotak pemikiran kita .

Air mata seorang wanita - sekadar hiasan
Catatanku ini hanya sekadar untuk mengenang seorang sahabat mayaku yang begitu tabah, kuat dan bersemangat dalam meniti suratan walaupun pada mulanya ia kelihatan seakan mengalah dengan takdir keadaan . Air mata sering menjadi penemannya, walaupun tawa dan senyum tidak lekang dari bibirnya namun pada hakikatnya dalam senyum dan tawa itu tersimpan seribu kedukaan dan air mata. Dirinya dibiar terkapar bersendirian dalam mengharungi kehidupan ini walaupun pada hakikatnya ia masih bergelar seorang isteri kepada suami yang masih punyai ikatan yang sah yang sepatutnya memikul tanggungjawab untuk keluarga tapi apa yang nyata segala bebanan dan tangggungjawab itu terletak diatas bahu si isteri yang secara tak lansung berperanan sebagai ibu dan bapa kepada anak anak dan juga kepada keluarga, Sisuami hilang mengejar glamour kehidupan, mencari sesuatu yang tak pasti, lari dari tanggungjawab terhadap keluarga membiarkan mereka seperti ayam yang kehilangan ibu.  
Siapapun kita, apakah yang kita dambakan adalah sebuah kebahagian namun begitu kadangkala apa yang kita harapkan tidak seperti yang kita terima, kita sering mengharapkan bahagia yang kita kecapi terus bertandang hingga kepetang tapi kekadang takdir Tuhan menentukan segalanya, ini bukan bermakna Tuhan ingin menghukum kita diatas kesilapan kita, mungkin inilah yang dikatakan meniti suratan, mungkin juga Tuhan telah atur sesuatu yang terbaik buat kehidupan kita, tiap perancangan Tuhan itu ada hikmah disebaliknya. Berbalik kepada sahabat maya saya tadi, apa yang telah dilaluinya membuatkan ia menjadi seorang isteri,ibu dan ayah  yang begitu kuat semangatnya, tabah dan tidak pernah mengharapkan ihsan insan lain yang mana jika tagihan insan dari orang lain mungkin akan terjadi sesuatu yang lain pula. Dia terus mengharungi kemelut kehidupannya bersendirian bersama anak anak yang sedikit sebanyak menjadi pemangkin kekuatannya, dia berjuang menuntut apa yang sepatutnya dituntut demi anak-anak dan kelansungan hidupnya, telah begitu banyak air mata yang dititiskan dan air mata ini jugalah yang membersihkan kesan-kesan luka yang bercalar dihatinya untuk dia terus melangkah kedepan demi anak-anaknya,meskipun ada tikanya dia seakan tak bermaya lagi untuk terus mengharungi semua ini bersendirian Tapi demi anak-anaknya, demi kelansungan kehidupannya dia tetap berdiri dengan semangat yang ada mencari, menuntut apa yang sepatutnya ada pada dirinya, Dia tidak lagi mahu mengaku kalah dengan keadaan mungkin baginya
hidup bukan untuk mengenang masa  silam sebaliknya untuk mengorak dan mencipta masa depan. Kini dia mungkin telah menjadi seorang wanita yang berjaya menongkah dan menafikan takdir keadaan yang satu ketika seolah menghukumnya. 


Sebagai kawan aku hanya mampu memberikan kata semangat agar dirimu tidak rebah dengan dalam meniti suratan dan kini secara jujurnya aku turut merasa bangga dengan kekuatan,ketabahan dan kecekalan kau mengharungi dan menangani semua episod duka ini sehingga dirimu menemui titik penghujung yang mungkin tidak menguntungkan tapi memberikan satu kelegaan setidak tidak nya untuk dirimu dan anak-anak.Sebenarnya Tuhan tidak akan menguji kita diluar batas kemampuan kita dan Apa yang Tuhan datangkan kepada kita mungkin ada rahmat tersembunyi yang kita sendiri tidak nampak.

Hemburkan air mata itu andainya ia mampu menzahirkan ketenangan dan kesatlah ia kembali andainya ia tak perlu ditumpahkan lagi.

Buat lelaki jangan sentuh hati wanita jika sekadar untuk disakiti... Jangan abaikan amanah Allah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.