Halaman

Isnin, 8 Ogos 2016

Untuk Mu Kawan



Ingatkah Kawan
Kita pernah bersatu  disatu bumbung
Jua  bersama  di satu suasana
Suasana anak-anak di alam sekolah

Untukmu sahabat-sahabatku
Kalian  teramat jauh di sana
Habis doa kukunyah
Habis mata kupandang
Namun kalian masih jadi bayang rindu.

Saat langkah-langkah terhayun
Jarak antara kitapun makin terbentang
Akan terkenangkah kita semua
Saat tawa kita memecah masa
Akan adakah pertemuan untuk kita
walau sekadar mengimbau masa

Sahabat...
Dalam hatiku
Tetap membekas satu kenangan
Yang tak kan mampu ku peroleh lagi
Saat saat manis kita bersama
Disatu era yang ditelan zaman
Yang kian pasti tak akan berulang

Sahabat –sahabat ku..
Aku terbayang – bayang
Di saat kaki kita melangkah pergi
Meninggalkan  alam persekolahan
Pelukan erat mulai menyapa
Tangisan haru mulai meraung
Kata-kata perpisahan mulai terucap 
berakhir kita di satu era...

Berterabur kita entah dimana
Ku rindui tantapan hangat kalian
Ku rindui jua senyuman damai sahabatku
Bisakah kita bertemu..
Biar di satu waktu saja
Akan ku buat waktu itu terhenti
Agar kita terus bisa bersama
Seperti disatu ketika ...
Walaupun bukan untuk selamanya

Sebahagian sahabatku





Selasa, 19 Julai 2016

Langkah Terakhir Kita

Setengah abad ku lalui dan terokai
Denai denai sebuah kehidupan
Yang begitu luas dan berliku..
Terkandung keindahan dan keduakaan
Terselit tawa dan tangis di dalamnya
Datang dan pergi silih berganti

Aku gagahi langkah ini..
Walaupun jatuh dan bangun sering bertukar posisi
Langkahku tidak segagah dulu
Kudratku tidak setangkas lalu
Kini ku temuai siapa diriku
Dalam usia yang kian dimamah tua

Ku tatap kembali wajah usangku
Dalam cermin kehidupan yang kian berbalam
Ku kenali diriku Dalam cermin peribadi
Lantas kami saling menyapa dan mengamit kembali
Nostalgia lalu yang sering dilalui bersama.
Disulami air mata dan gelak tawa

Tuhan ku....
Dalam langkah langkah penghujungku
Ku pandang begitu kerdil aku disisimu..
Inilah aku dalam usia yang berbaki
Entah berapa lama lagi mampu
Ku tatap dunia ini...
Tuhanku.....
Akan ku serah diriku...
Aku jua pasrah akan segalanya..
Dibawah keagungan kuasamu...Tuhanku


Gambar Hiasan



Jumaat, 19 Februari 2016

Retak Jangan Sampai Belah



Ku pinjamkan sebahagian kata-katanya untuk pedoman


Bila Sampai ke laut gading,
Belokkan perahu mencari selat.
Bila bertikam dalam berunding,
Eloklah balik kepada adat.

Genting jangan membawa putus,
Retak jangan membawa belah,
Sumbing jangan membawa pecah.
Ingat amanah Daripada Allah,
Ingat hubungan pertalian darah.

Silap besar elok diperkecilkan,
Yang kecil elok dilupakan.
Bila terlupa sapa menyapa,
Bila terlanjur tegur menegur.

Salah jangan dibesarkan,
Selisih jangan dipanjangkan.
Yang salah dibetulkan,
Yang bengkok diluruskan,
Yang keliru dilupakan.

Kalau bertengkar sesama sendiri
Sama-sama menahan diri.
Jangan dibawa ke orang luar,
Orang luar banyak ragamnya,
Ada yang elok ada yang buruk,
Ada yang suka ada yang benci,
Salah-salah berpecah belah.

Kalau berlaku salah sengketa,
Adik beradik  bantah membantah,
Duduk berunding lapangkan dada,
Tenangkan hati, panjangkan kira-kira.

Genting jangan memutuskan,
Sumbing jangan meluakkan,
Kering jangan menimpaskan,
Hilang jangan membinasakan,
Rugi jangan mematikan,
Harta jangan membutakan,
Wang jangan menggelapkan,
Kasih tidak mencelakakan,
Sayang tidak mencederakan.

Yang tua berakal jangan sempitkan,
Jangan memihak yg lain ketepikan,
Nasihatkan saudaramu jangan lagakan,
Berdiri kita umpama Imam
Luruskan saf jangan biarkan
Akal tua kita jangan siakan
Tak ada untung yang dapat memuaskan
Yang timbul sesal itu yang dirisaukan

Yang tinggi belajarnya jangan persiakan,
Tinggi ilmu agamanya,jangan sempitkan
Guna kan ilmu dikala kekeliruan
Untuk leraikan tiap kekusutan,
Usah ego dengan apa yg Tuhan kurniakan,
Jangan pula riak apa yang Tuhan berikan
Kasihan yang lain tak ada apa untuk diharapkan
Bukan menadah tangan minta dikasihankan
Sekadar mengharap yang patut diperuntukan.




Rapat mana sekalipun kita dengan sahabat, rapat lagi saudara kita dengan kita, kenal mana pun sahabat dengan kita, yang pasti saudara kita lebih mengenali siapa kita...

Andai kata ibu bapa kita telah tiada sekali pun, saudara kita lah satu-satunya ada bersama dengan kita selain sahabat.... Jangan  Pecahkan  Yang Retak dan Jangan Putuskan Yang Dicincang...... biar selamanya seperti Kiambang Yang Bertaut.


Khamis, 21 Januari 2016

Ku kabarkan

Ku kabarkan   kepada hujan yang turun.....
Dalam dinginku ...
Bayangan kenangan pasti datang menyapa
Hanya kamu yang tahu....dari mana bayangan itu

Ku kabarkan jua pada  bayu yang meniup...
Jika ada rasa rindu
Dalam dunia fantasiku
Untuk siapa ? hanya kamu yang tahu....

Ku ceritakan pada beburung yang berterbangan
Jika masih terasa gumpalan rindu
di dalam benak hatiku..
Tak perlu ku tanya siapa...kamu pasti tahu

Ku kabar dan pesankan kepada semesta alam
Jika masih ada tompukan rindu
Didalam beku heningku
Maka pasti kamu yang tahu untuk siapa..

Segala rasa yang ada
Bermain disegenap jiwa
Tak perlu ku tanya siapa
HANYA KAMU dan AKU  YANG TAHU


Jumaat, 9 Oktober 2015

AKULAH YANG BERSALAH



Kadang-kadang tersasar jua tujuan kita
Bertanyalah apa yang dicari
Apakah kita terpaksa ... atau..
Apakah kita mengikut rasa
Cuba tanya jiwa kita
Apakah kita rela ...
Tapi yakinkah kita disatu ketika
Ujian akan  datang dalam tawa...
Datang dalam riak muka yang ceria
Namun ianya tetap membawa seribu duka
Aku mampu yakin dan sedar
Akan kehadiran manusia-manusia lain yang menyayangi aku
Namun aku tak mampu untuk terus yakin berdiri disitu
Berdiri mempertahankan keyakinan itu
Kerana gelombang pasti datang
Walaupun kita bersembunyi disebalik bebatuan
Gelombang bukan lagi menghempas tapi seakan menghiris
Menghiris sinis dalam senyum yang manis
Kadang-kadang langkah kaki ini terasa patah
Bukan kerana halangan di hadapan
Tetapi kerana patahnya juga sebuah keyakinan
Lantas meninggalkan bekas dan kesan
Yang tak mampu untuk ku rawat

Yang PASTI
AKU YANG BERSALAH
Bersalah membenarkan ini bermula dulu



Rabu, 29 Julai 2015

Apakah Serba Salah Menguji Kita

Sebagai manusia sudah pasti kita tidak boleh lari  dari dihadapkan pada situasi yang serba salah, ada tikanya kita perlu membuat satu pilihan diantara dua  yang kita rasakan teramat sulit sekali untuk kita membuat keputusan kekadang tak ubah seperti pepatah “ bagai makan buah simalakama “ atau tak ubah seperti “ ditelan mati emak,diluah mati bapak “ tapi kita sebagai manusia yang waras harus dan mesti menetapkan pilihan kita itu walaupun diakhir keputusan itu pasti  dan tak mustahil kita akan ketawa dalam menangis .Serba salah ini jua sememang nya sesuatu yang amat menyiksakan jika begini yang kita lakukan terasa ianya salah jika begitu pula ianya juga salah. Apapun kita yang membuat keputusan itu maka kita kita kena yakin bahawa itulah keputusan tepat yang mampu kita buat,hasil dari keputusan itu kita kena redho akan apa yang mendatang. Kesabaran dan tawakal amat perlu jika kita berada dalam situasi ini apatah lagi dikala emosi itu terlalu memuncak ,kita kena yakin dengan diri kita sendiri,berpandangan positif dan memohon maaf dan memaafkan . Dalam menghadapi situasi begini kita hanya punyai satu pilihan ,walaupun pilihan itu pahit ianya harus juga kita telan,jangan terlalu  mengikut emosi dan kehendak hati kita,berfikir dan muhasabahlah diri kita biarpun disatu ketika kita terpaksa mengorbankan kehendak hati kita demi untuk satu keputusan yang amat sukar itu.

Mungkin kita yang menciptanya
Dalam satu situasi yang kurang pasti dan kita jua tidak tahu akan penghujungnya sebenarnya kita tak perlu menjadi kalut apa yang diperlukan kita kena yakin dengan diri kita,dengan keputusan kita yang penting kita kena percaya pada diri kita sendiri bahawa kita boleh mengatasi tiap permasalahan ini ,untuk itu kita perlu tenang,jika kita perlukan pandangan orang lain,dapatkannya tapi biarlah dari orang yang mampu memberikan pandangan yang boleh kita pegang akan saranannya itu namun begitu kita tidak mampu untuk lari dari menyakiti orang lain terutama perasaannya diatas tindakan yang kita buat walaupun bukan itu yang kita inginkan tetapi kita tak mampu untuk memenuhi segalanya .

Jika kita rasakan tindakan kita itu akan menghadiahkan kesakitan terutama perasaan kepada orang lain,jangan kita lupa letakanlah diri kita serendah rendahnya untuk meminta maaf dan memaafkan yang penting apa yang kita buat bukan untuk mementingkan diri kita sendiri tapi mungkin ianya ada kebaikan bersama setidak tidaknya untuk sesuatu keadaan.Kadang-kadang dalam situasi ini kita perlukan pengorbanan dari segala hal tak kiralah perasaan atau sebagainya,lakukanlah ianya nya dengan mengambil kira dari segala sudut agar kita mampu untuk redha dengan keputusan itu.

Sebagai manusia yang sememang nya tidak mampu untuk lari dari menerima situasi begini ada baiknya kita belajar dari pengalaman ini agar disatu ketika nanti kita tidak akan terjebak lagi dengan situasi begini ,biarpun pengalaman pertama kita melalui situasi ini pasti menghadiahkan kesakitan pada diri kita sendiri atau orang lain tapi belajarlah agar kita tidak melakukannya lagi. Apapun percayalah mungkin Tuhan sengaja membiarkan ianya terjadi pada diri kita untuk kita jadikannya satu pelajaran dan cuba ambil hikmah daripadanya.

Semoga Tuhan akan memberikan kita kekuatan agar  mampu untuk keluar dan mengatasi segala keadaan sebegini biarpun ianya kita rasakan terlalu sukar namun ia terpaksa ,tapi andainya kita mampu biarlah tindakan kita itu tidak akan meninggalkan kesan yang mendalam pada orang lain dan diri kita sendiri .

Jangan dera perasaan kita



Selasa, 21 Julai 2015

Syawal Menjelma Lagi


Aku di perantauan

Ramadhan telahpun melabohkan tirainya meninggalkan kita dan kita jua sama-sama telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diwajibkan keatas semua umat Islam diseluruh pelusuk dunia iaitu Rukun Islam yang ketiga berpuasa dibulan Ramadhan. Mungkin kita sendiri telah dapat menilai apakah sempurna Puasa kita kali ini dan dimanakah KPI keimanan kita di bulan Ramadhan ini,walau apa sekalipun sama sama kita semua berdoa kita semua sebagai umat Nabi Muhammad SAW dipanjatkan ketakwaan sepanjang masa setelah kita berjaya melaksanakan dengan kesempurnaan ibadah dan rukun Islam yang ketiga itu dengan jayanya dan melaksanakan ibadah itu dengan penuh rasa keinsafan,In Syaa Allah ianya akan diterima Tuhan.


Kini Syawal telah menjelma dan ini bermakna telah datangnya hari kemenangan buat kita ,marilah kita sama-sama panjatkan rasa syukur ,gembira di atas kemenangan iman kita menakluki nafsu di bulan Ramadhan dulu.Ayuh kita membuka ruang untuk bermaaf –maafan,berkunjung dan ziarah menziarahi ,mengukuhkan ukwah persaudaraan dan ikatan persahabatan.

Bagi kita diperantauan bila disebut hari lebaran,kita pasti akan teringat kampong halaman ibu bapa dan sanak saudara ,seboleh bolehnya kita ingin berada bersama sama  mereka dikampong halaman untuk merayakan hari kemenangan ini,namun begitu bukan semua diantara kita yang berpeluang berbuat begitu,kadang-kadang keadaan,tugas dan kekangan kerja akan menafikan kata hati dan kehendak kita itu,apapun kita kena ingat walaupun berjauhan itu bukan beerti perpisahan dan bukan jua satu pengakhiran.Dimanapun kita berada kita tetap berpeluang merayakan hari kemenangan ini.


Aidil Fitri kali ini aku tidak berpeluang merayakannya  bersama-sama sanak saudara dikampong,namun begitu aku rasakan ianya tetap meriah kerana aku punya i orang –orang yang disayangi disekelilingku,itulah anak-anak dan isteriku,dimanapun kita berada itu bukan lagi persoalannya apa yang penting kita tetap merayakan hari kemenangan ini bersama keluarga.


Isteri dan anak-anakku
Aku dan keluargaku
Anak-anakku
Keluargaku beraya diperantauan
AKU

Sama – samalah kita berdoa agar sebelas bulan yang akan mendatang merupakan hari-hari yang berkualiti untuk diri kita dari segi ibadah dan terus berusha agar diri kita tetap seperti hari ini dengan ketakwaan kepada Allah  agar Allah dapat memakbulkan doa kita semua untuk kita berpeluang sekali lagi bertemu Ramadhan yang akan datang.





Selamat tinggal Ramadhan,moga aku mampu menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik untuk hidupku dan menjadi hamba yang lebih baik lagi dimata Allah walaupun bukan dimata orang lain.


MINAL AIDIN WAL FAIDZIN,
Ampun dan maaf dipohonkan dari semua diatas segala salah dan silap selama ini

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
Maaf Zahari Dan Batin